Saturday, February 13, 2010

Muhasabah hati #3


Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa… soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.


Copied from: Ustaz Pahrol Mohd. Juoi

0 comments: