KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kebanyakan pemegang ijazah sarjana muda yang bakal bekerja menjangkakan gaji mereka adalah sekitar RM1,800 hingga RM2,600 sebulan, menurut kaji selidik terbaru Jobstreet.com.
Manakala bagi pemegang diploma, gaji yang diminta adalah sekitar RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.
Menurut kaji selidik itu, dari jumlah 1,830 lepasan universiti berkata, mereka memerlukan purata sebanyak RM700 atau lebih bagi memenuhi keperluan asas seperti perbelanjaan harian termasuk pengangkutan, makanan, sewa dan hiburan.
''Terdapat 29 peratus responden menolak tawaran pekerjaan kerana gaji dan manfaat ditawarkan tidak memenuhi jangkaan mereka.
''Realiti sebenarnya, sebanyak 54 peratus pemegang ijazah sarjana muda menerima gaji seperti yang dikehendaki manakala 35 peratus lagi kurang dari RM1,800 sebulan.
''Manakala sebanyak 37 peratus pemegang diploma menerima gaji kurang dari RM1,200 sebulan iaitu paras lebih rendah dari jangkaan,'' katanya.
Sementara itu, lepasan universiti tersebut berkata, sebab utama menyebabkan mereka tidak diterima bekerja adalah persaingan sengit (32 peratus) diikuti oleh kekurangan kemahiran yang diperlukan (31 peratus).
Sebanyak 23 peratus daripada responden merasakan kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris dan selain skil komunikasi rendah (22 peratus) merupakan antara sebab kegagalan untuk mendapatkan pekerjaan.
Dari segi mendapatkan pekerjaan, sebanyak 74 peratus dari 773 lepasan universiti yang sedang bekerja berjaya memperoleh pekerjaan kurang dari tiga bulan dan 16 peratus menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.
0 comments:
Post a Comment